Oleh : Saerah Haji Abdul Ghani / Foto : Muhammad Asri Haji Awang Abas
BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 1 Mac. - Kira-kira 700 warga Kementerian Pembangunan menyertai Majlis Bertadarus Malam-malam Bulan Ramadan bagi Tahun 1447 Hijrah / 2026 Masihi di Surau, Istana Nurul Iman, yang diadakan bagi malam ke-11.
Hadir pada majlis berkenaan, Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid.
Turut hadir, Timbalan Setiausaha Tetap (Infrastruktur, Perumahan dan Profesional, Awang Haji Shaharuddin Khairul bin Haji Anuar.
Sementara itu, hadir sama di ruangan jemaah perempuan, Setiausaha Tetap, Dr. Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak; Timbalan Setiausaha Tetap (Industri Pembinaan dan Kemajuan), Sr. Dayang Hajah Norhayati binti Haji Mohammad Yaakub; dan Timbalan Setiausaha Tetap (Korporat dan Undang-undang), Dayang Aldila binti Haji Mohamad Salleh.
Majlis dimulakan dengan menunaikan Sembahyang Fardu Isyak Berjemaah, Sembahyang Sunat Tarawih Berjemaah dan seterusnya Sembahyang Sunat Witir.
Tazkirah bertajuk 'Hidupkan Bulan Ramadan dengan Asmaul Husna : Al-Malik (Yang Maha Berkuasa)' turut menyerikan lagi acara berkenaan, masing-masing disampaikan oleh Penolong Pegawai Perkembangan Ugama, Pusat Da'wah Islamiah (PDI), Awang Muhammad Naadzimur-Rahmaan @ Naadzim bin Awang Haji Ya'akub di ruangan jemaah lelaki, manakala Penolong Pegawai Ugama, PDI, Dayang Hajah Nur Hasyimah binti Haji Mohd. Yaasin pula di ruang jemaah perempuan.
Kemudian, majlis disusuli dengan bacaan Tadarus Al-Quran dan seterusnya majlis ditutup dengan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam.
Turut hadir, pegawai dan kakitangan dari Kementerian Pembangunan serta pegawai dan guru ugama dari Jabatan Pengajian Islam.